Thursday, February 21, 2008

Sekitar Jerlun



Bagi anda yang tidak tahu di mana kedudukannya, kawasan Parlimen Jerlun terletak di sempadan Kedah-Perlis. Di barat terletak kawasan Parlimen Kubang Pasu, manakala di selatannya kawasan Parlimen Kuala Kedah. Kawasan Parlimen Jerlun mempunyai dua buah Dewan Undangan Negeri iaitu Kota Siputeh dan Air Hitam, dengan pengundi seramai 44,148 pengundi di mana 89.6% adalah pengundi Melayu, 8.6% pengundi Cina, 0.3% India dan 1.4% peratus adalah lain-lain (kebanyakannya berbangsa Siam). Dalam pilihanraya tahun 2004, Abd Rahman menewaskan calon PAS, Idris Ahmad dengan kelebihan undi 2,142.

Dari segi sejarahnya, kawasan Parlimen Jerlun dulunya dikenali sebagai Jerlun-Langkawi. Selepas persempadanan semula pilihanraya, wujud dua buah kawasan parlimen berasingan iaitu Jerlun dan Langkawi. Sebahagian dari kawasan Parlimen Jerlun dulunya berada di kawasan Parlimen Kubang Pasu yang pernah diwakili oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Sebahagian besar kawasan tersebut kini berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh.

Dari segi ekonomi, kawasan Parlimen Jerlun kurang membangun. Jerlun tidak mempunyai daerah sendiri. Ia masih berada dalam daerah Kubang Pasu. Tidak ada bandar besar, kecuali Pekan Kodiang, Pekan Padang Sera, Pekan Kerpan dan Pekan Air Hitam. Nama-nama tempat di Jerlun juga agak unik; contohnya Lana Bulu, Tok Kepak, Alor Biak, Pering, Batas Bengkok atau Matang Bonglai. Penduduk di kawasan Parlimen Jerlun rata-rata merupakan nelayan, petani atau pesawah. Untuk menjadi Ahli Parlimen yang baik, Mukhriz mestilah membiasakan diri dengan istilah-istilah seperti "batas ban" dan "pida." Mukhriz juga mestilah belajar untuk "makan" nira nipah yang cukup popular di situ.